
RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menegur kerajaan negeri agar lebih agresif untuk mencapai kemajuan bagi memastikan Perlis tidak ketinggalan jauh berbanding negeri-negeri lain.
Baginda bertitah, saiz negeri Perlis yang kecil sepatutnya menjadi kelebihan untuk bergerak lebih pantas dan lancar berbanding negeri-negeri lain yang lebih besar.
“Beta nampak walaupun kita berjaya bergerak ke hadapan, perkembangan kita masih perlahan berbanding negeri lain. Beta ingin mempercepatkan lagi usaha ini.
“Tidak munasabah bagi negeri kecil seperti Perlis untuk terus ketinggalan di belakang. Negeri kecil seperti kita sebenarnya mampu bergerak lebih laju dan lancar,” titah baginda semasa Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Arau hari ini.
Baginda turut memberi analogi bahawa mentadbir negeri kecil sepatutnya lebih mudah, seperti menguruskan rumah tangga yang melibatkan keluarga kecil, berbanding menggerakkan satu kampung yang jauh lebih mencabar.
“Sebagai negeri kecil, kita sepatutnya lebih cepat membangun. Inilah pesanan beta, kerana beta cukup bimbang jika kita terus dibiarkan begini, kita akan ketinggalan lebih jauh ke belakang,” titah baginda lagi.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin menyeru semua wakil rakyat untuk memanfaatkan peluang semasa berada di ibu negara bagi menyelesaikan isu rakyat. Baginda menegaskan agar mereka tidak menunggu bantuan tiba, sebaliknya perlu lebih proaktif.
“Jangan tunggu pegawai dari Kuala Lumpur datang ke sini. Kita negeri kecil, walaupun berlainan kerajaan, mereka tetap akan membantu. Minta sepuluh, dapat tiga, itu tidak mengapa. Minta lagi, teruskan usaha,” nasihat baginda.
Baginda turut menegaskan bahawa setiap Exco perlu memahami portfolio masing-masing secara mendalam dan mendapatkan pandangan daripada pihak yang lebih arif sekiranya terdapat kekeliruan.
“Gunakan masa yang ada sebelum pilihan raya akan datang untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dengan sebaik mungkin. Jangan sia-siakan amanah yang diberikan,” titah baginda.
Raja Perlis turut mengingatkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) agar sentiasa memegang amanah dan integriti dalam melaksanakan tugas mereka demi kepentingan rakyat.
Baginda berharap agar teguran itu dijadikan panduan untuk kerajaan negeri bergerak lebih pantas dalam usaha memajukan Perlis sejajar dengan negeri-negeri lain di Malaysia.






