
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab tuduhan pihak pembangkang yang tidak berpuas hati berhubung penajaan sektor swasta dalam siri lawatan rasmi kerajaan ke lima buah negara.
Anwar berkata, syarikat yang membantu membiayai kos perjalanannya adalah mereka yang mempunyai kepentingan perniagaan dan pelaburan di negara ini.
“Saya baru-baru ini ke lima negara tentunya memakai pesawat MAS dengan belanja yang tentu tinggi. Jadi kita anjurkan syarikat-syarikat swasta yang ada potensi sama ada melabur atau sedang melabur Proton, Petronas, Sapura Energy, syarikat-syarikat semi kondoktor.
“Mereka menyertai rombongan dan membayar kos. Itu pun jadi salah,” katanya
ketika sesi townhall sempena Dua Tahun Kerajaan Madani di KLCC, hari ini.
Turut hadir sama, Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadhillah Yusof serta barisan Menteri yang lain.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan, tidak sepatutnya pembangkanf memainkan sentimen penjimatan yang dilaksana kerajaan membabitkan perjalanan dan lawatan rasmi Perdana Menteri dan delegasi rasmi ke luar negara.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, sepatutnya insiatif yang dilaksana kerajaan dalam melakukan penjimatan harus disokong, bukannya dijadikan isu bagi mencipta persepsi negatif terhadap Kerajaan Perpaduan.
“Jadi negara ini kalau kadang-kadang kita layan sangat, yang curi, yang rompak, yang sakau itu dipuja, tapi yang cuba jalankan program kerana bersih itu dicerca. Ini dikatakan zaman edan, separuh gila.
“Saya lihat umpamanya kesungguhan Kerajaan Madani untuk membersihkan negara dari jijiknya amalan rasauah yang sudah hampir menjadi sistemik dalam negara dulu pergi mana mana di dunia malaysia dikenali sebagai korup.
“Itu mesti dihapuskan jangan anggap ini mudah macam dilihat baru-baru ini si golongan maha kaya itu dipertuaankan. Saya kadang-kadang bingung macam mana seorang pejuang bangsa dan agama pertahankan (golongan) korup menggunakan nama Islam. Jangan kelirukan kerana jika ini diteruskan negara tidak maju,” katanya.




