Tun Daim tak berdendam, serah kepada sejarah hakimi usahanya – Keluarga

KUALA LUMPUR – Allahyarhan Tun Daim Zainuddin tidak menyimpan dendam kepada mereka yang menolak usahanya.

Keluarga bekas Menteri Kewangan itu menyatakan, Allahyarham Daim tidak menyimpan dendam beliau malah memaafkan tanpa kata-kata, dan sanggup memikul beban konflik dengan perasaan tenang dan kasih sayang yang selama ini mencorakkan wataknya, sambil menyerahkan segala-galanya kepada sejarah untuk menghakiminya.

“Biarpun Allahyarham tidak lagi berada di samping kita, harapan kami ialah usaha beliau walau sekecil mana pun telah membantu mencapai masa depan yang lebih cerah untuk semua rakyat Malaysia.

“Beliau sentiasa berpesan bahawa kekuatan negara ini terletak kepada kepelbagaian, perpaduan, usaha gigih dan keyakinan yang utuh bahawa kita boleh bersama-sama mencapai kegemilangan.

“Kepada mereka yang pernah bekerja dengan Allahyarham dan sentiasa mendampinginya, yang berkawan, menyokong dan mempercayai visinya, kami terhutang budi kerana kerana andalah yang memperkayakan perjalanan hidupnya.

“Beliau amat menghargai ikatan persahabatan yang dijalinkan sama ada di dalam atau luar negara. Sering kali beliau bercakap mengenai anda dengan penuh rasa syukur, kerana sedar yang kejayaan tidak mungkin dicapai berseorangan,” kata keluarganya dalam kenyataan pada Isnin.

Sementara itu ujar kenyataan itu lagi, sehingga ke akhir hayatnya, beliau kekal yakin kepada potensi negara ini, untuk menjadikan Malaysia lebih adil, makmur, inklusif dan bersatu.

“Kepada anak muda Malaysia, Allahyarham meletakkan kepercayaan kepada anda kerana baginya, anda adalah masa depan dan harapan negara.

“Malaysia adalah milik anda sekarang. Beliau menyedari akan cabaran yang mendatang, namun tetap percaya anda boleh mengatasinya, pada masa sama tidak membiarkan perasaan curiga dan dendam berakar umbi.

“Beliau berpesan walaupun jalan menuju Malaysia yang lebih baik sememangnya penuh ranjau, tetapi percayalah, ia berbaloi untuk
diharungi,” kata kenyataan keluarganya.

Tambah keluarga Daim lagi, Allahyarham mengabdikan hidupnya ke arah matlamat memajukan, membangunkan dan memperkasakan ekonomi Malaysia.

“Baginya, kehebatan yang hakiki bukan terletak pada kuasa, tetapi pada usaha gigih yang tidak mengharapkan balasan.

“Namun apa yang paling utama, prinsip yang paling dipentingkan oleh Allahyarham dalam hidupnya, adalah imannya yang mendalam kepada Allah.Sebutan yang tak tinggal ialah syukur kepada Allah.

“Di sebalik semua kejayaannya di dunia, beliau yakin ganjaran yang diterima adalah disebabkan keimanannya kepada Allah. Dan apabila berdepan kesukaran, beliau bertawakal kepada-Nya. “Lakukan apa yang mampu dan selebihnya serahlah kepada Allah”. Seperti kita, beliau beriman kepada Allah yang Maha Mengetahui.

“Pencapaian Allahyarham amat membanggakan kami, namun lebih daripada semua itu, Allahyarham adalah seorang suami, ayah, datuk dan moyang kami. Allahyarham adalah guru kami, pelindung kami, sumber kekuatan kami dan pembimbing akhlak kami.

“Di sebalik kehebatan akal dan ketinggian wawasan, beliau berjiwa lembut dan menjadi teladan kepada kami melalui pertuturannya dan tingkah lakunya, sifat rendah dirinya dan integritinya, sifat murah hati dan rahmah, serta kekuatannya dalam kesabaran.

“Jasanya kepada orang jarang-jarang disebutnya, kerana beliau yakin nilai sebenar kehidupan ini bukan terletak kepada apa yang dimiliki, tetapi kepada apa yang disumbangkan,” ujar keluarga Daim lagi.

Selain itu, mereka sekeluarga juga memanjatkan syukur kerana diberikan peluang bersamanya.

Kata keluarganya lagi, walaupun kehilangannya tiada ganti, legasi yang ditinggalkannya memberikan mereka ketenangan.

“Dalam meratapi kehilangannya, kami meraikan kehidupannya dan bagaimana beliau menyentuh kehidupan orang di sekelilingnya.

“Semoga legasi beliau memberi inspirasi kepada kita semua untuk menjadi insan yang lebih baik.

“Kami dengan penuh tawadduk memanjatkan doa agar Allahyarham dikenang dan dihormati dalam cara yang sama beliau menjalani kehidupannya secara tenang dan bermaruah.

“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan dari seluruh dunia, serta rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat yang meluangkan masa memberikan penghormatan terakhir dan seterusnya bersama-sama solat jenazah di masjid, juga kepada semua yang menukilkan ucapan takziah yang menyentuh hati kepada Allahyarham Daim Zainuddin, suami, ayah, datuk dan moyang tercinta,” kata keluarga Daim lagi.

Related Posts

DBKL sita 323 basikal sewa beroperasi tanpa lesen di Tasik Titiwangsa

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita sebanyak 323 buah basikal sewa dalam operasi Tindakan Khas Pengusaha Basikal tanpa lesen dan Halangan Tempat Awam di sekitar Jalan Tembeling,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Status pelunasan zakat Tabung Haji sah, sempurna

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan status pelunasan zakat bagi pihak pendeposit adalah sah dan dilaksanakan dengan sempurna. TH dalam kenyataan berkata, Jawatankuasa Penasihat Syariah TH dalam mesyuaratnya…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Rangka dalam guni disahkan manusia, waris sedang dikesan

Rangka dalam guni disahkan manusia, waris sedang dikesan

Polis tumpaskan ‘Geng Andy’, selesai 10 kes curi rim kenderaan

Polis tumpaskan ‘Geng Andy’, selesai 10 kes curi rim kenderaan

Polis Marin Sabah rekod 95 kes, rampasan lebih RM25 juta sejak Januari

Polis Marin Sabah rekod 95 kes, rampasan lebih RM25 juta sejak Januari

Pengesahan umur akaun media sosial diwajibkan individu 16 tahun ke atas

Pengesahan umur akaun media sosial diwajibkan individu 16 tahun ke atas

Rasuk dimakan anai-anai punca runtuhan di Lebuh Armenian

Rasuk dimakan anai-anai punca runtuhan di Lebuh Armenian

DBKL sita 323 basikal sewa beroperasi tanpa lesen di Tasik Titiwangsa

  • By Aden
  • August 4, 2026
DBKL sita 323 basikal sewa beroperasi tanpa lesen di Tasik Titiwangsa