KPDN umum 8 jenis barangan dikawal harga sempena Deepavali selama seminggu

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di seluruh negara sempena sambutan Deepavali 2024 berkuat kuasa 28 Oktober hingga 3 November ini.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pelaksanaan SHMMP selama tujuh hari membabitkan lapan jenis barangan di bawah skim berkenaan.

Menurut beliau, barangan terbabit adalah daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil (India) termasuk bawang ros, bawang merah besar import dan kacang dal (Australia).

“Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti faktor permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah dan lain-lain.

“Selain itu, penentuan harga ini dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada rakan strategik KPDN iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan dan pemain industri,” katanya pada sidang media Pengumuman Pelaksanaan SHMMP Deepavali 2024 pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, SHMMP Deepavali 2024 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat.

Katanya, harga maksimum yang ditetapkan menerusi skim itu pada peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web KPDN.

“Pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan ditugaskan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan bagi menjalankan pemeriksaan serta penguatkuasaan untuk melindungi pengguna daripada peniaga tidak beretika.

“Kementerian sentiasa menjalinkan kerjasama dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini,” katanya.

Beliau berharap, semua pihak dapat mematuhi harga ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan dikawal harga.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah SHMMP.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang boleh dikenakan penalti,” katanya.

Armizan berkata, kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum bagi individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Beliau berkata, syarikat yang melakukan kesalahan itu pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Katanya, bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala untuk syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

“KPDN meminta kerjasama orang ramai memaklumkan sebarang aduan melalui saluran WhatsApp 019-848 8000; Call Centre 1-800-886-800; e-mel di e-aduan@kpdn.gov.my dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN,” katanya.

Related Posts

Pindaan Akta Tabung Haji penting perkukuh tadbir urus, elak kelemahan berulang

PUTRAJAYA – Pindaan terhadap Akta Tabung Haji 1995 perlu diberi keutamaan susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH), bagi memastikan kelemahan tadbir urus yang dikenal…

Lebih lanjut

teruskan membaca
TH sambut baik pindaan Akta Tabung Haji, perkukuh tatakelola institusi

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik langkah kerajaan meminda Akta Tabung Haji 1995 sebagai usaha memperkukuh tatakelola serta memastikan amanah umat Islam yang dipertanggungjawabkan kepada institusi itu…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pindaan Akta Tabung Haji penting perkukuh tadbir urus, elak kelemahan berulang

Pindaan Akta Tabung Haji penting perkukuh tadbir urus, elak kelemahan berulang

Belanjawan 2027 fokus tingkat pendapatan, peluang pekerjaan berkualiti

Belanjawan 2027 fokus tingkat pendapatan, peluang pekerjaan berkualiti

Dasar tidak popular perlu dilaksana demi kepentingan jangka panjang – Amir Hamzah

Dasar tidak popular perlu dilaksana demi kepentingan jangka panjang – Amir Hamzah

FELDA Jengka 24 sasarkan pemasangan 10,000 Jalur Gemilang

FELDA Jengka 24 sasarkan pemasangan 10,000 Jalur Gemilang

TH sambut baik pindaan Akta Tabung Haji, perkukuh tatakelola institusi

TH sambut baik pindaan Akta Tabung Haji, perkukuh tatakelola institusi

Pucuk pimpinan yang tegas lagi teguh diperlukan untuk perangi rasuah – Ayob Khan

Pucuk pimpinan yang tegas lagi teguh diperlukan untuk perangi rasuah – Ayob Khan