Ketimbang pertikai kebaikan PMX, lebih baik Pas selesaikan isu gaji rendah guru Pasti

PUTRAJAYA – Pas sepatutnya memberi keutamaan dalam menyelesaikan isu gaji rendah dihadapi guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) milik parti itu, berbanding mewujudkan polemik kebencian terhadap kebaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengambil gaji, sehingga sanggup ‘menunggang’ nama Allah dan Rasul dalam meraih perhatian.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, tenaga pengajar Pasti tidak diberi gaji dan elaun kerana diumumkan oleh parti pembangkang itu sebelum ini sebagai sukarelawan adalah bahaya dan seperti mempermainkan undang-undang, seolah-olah pengeksploitasian pekerja sedang dilakukan oleh Pas.

Menurut beliau, Pas perlu bersikap adil terhadap guru-guru berkenaan dan tidak mencipta alasan untuk menutup kepincangan yang berlaku.

“Kalau kata sukarela, kenapa Pasti, mereka ada majlis guru-guru, majlis kokurikulum, ada (ahli lembaga) pengarah yang dilihat merupakan satu institusi besar yang mempunyai bebanan dan tanggungjawab besar, selain dengan cawangannya, takkan mereka bersikap sukarela. Inilah alasan bila dia (Pas) nak selamatkan diri.

“Apabila Pas mengabaikan perkara asas seperti gaji minimum yang sepatutnya dinikmati RM1,500 dan terbaharu (menerusi Belanjawan 2025) RM1,700, ia dilihat sifat kesukarelawan mereka dieksploitasi.

“Tindakan ini sangat bahaya dari segi undang-undang buruh yang diperuntukkan kerajaan. Perkara itu dia (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) tidak mahu bincang pula, lebih memikirkan kebaikan Perdana Menteri untuk tidak terima gaji sebagai habuan untuk perlekeh dan memperkecilkan, tetapi tidak memikirkan beribu guru Pasti yang sepatutnya harus dibela,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press, hari ini.

Sehubungan itu, Mujahid berkata, sindiran oleh Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas itu sebenarnya sindiran kepada guru-guru dan pekerja parti yang atas nama perjuangan mengorbankan gaji mereka.

“Sepatutnya Pas memberi fokus utama dalam menyemak atau menstruktur semula gaji guru-guru Pasti setimpal atau tidak berbanding sibuk menegur soal Perdana Menteri tidak mengambil gaji. Jadi, apa yang dikatakan itu menemplak kepada Pas sendiri.

“Seharusnya apabila ada individu seperti Perdana Menteri tidak mengambil gaji patut dipuji, diberi penghargaan. Pas patutnya membela orang di bawah yang susah, seperti sering dicanangkan mereka. Bagi saya itulah tahap Timbalan Presiden Pas yang tidak ada idea yang sanggup guna sentimen merendah-rendahkan perbuatan mulia pemimpin tidak mengambil gaji,” katanya.

Dalam pada itu, kenyatan dilemparkan Tuan Ibrahim adalah satu perbuatan tidak wajar dari seorang pemimpin parti pembangkang yang gemar menggunakan agama bagi menghalalkan kepentingan politik mereka.

Jelasnya, sikap pembangkang itu membuktikan mereka semakin ketandusan idea dan gagal menawarkan penyelesaian alternatif yang bermanfaat kepada rakyat serta negara.

“Ia jelas penghinaan besar kerana mengaitkan seolah-olah Rasulullah terima gaji seperti orang lain sedangkan Baginda menerima di atas Baitulmal yang menetetapkan setiap bahagaian dalam pentadbiran, bukan soal terima gaji macam manusia biasa seperti kita. Tidak kena perumpamaan itu selain mewujudkan penghinaan kerana (menyamakan Perdana Menteri) seperti malaikat.

“Justeru, kenyataan celaan itu menggambarkan level pemikiran seorang Timbalan Presiden Pas yang tidak ada idea membina kepada kerajaan hari ini, sepatutnya berbincang tentang Belanjawan 2025, apa yang boleh digunakan semaksimum mungkin, kritik untuk penambahbaikan dalam memperkasa dasar namun pilih untuk menghina Allah dan Rasul,” katanya.

Terdahulu, Tuan Ibrahim mempertikaikan bagaimana Anwar memperoleh pendapatan dan berbelanja untuk keperluan harian jika beliau tidak mengambil sebarang gaji daripada jawatan yang disandangnya.

Perkara itu pada awalnya dibangkitkan beliau yang mencelah ketika Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin membahaskan Belanjawan 2025.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu secara secara sinikal memetik bahawa seorang rasul pun diberikan peruntukan oleh Allah untuk rezekinya dan keadaan Anwar dianggap lebih daripada rasul.

“Saya rasa Tambun (Anwar) tak boleh berselindung di sebalik kenyataan dia tak ambil gaji… sebab kalau tengok dari segi data yang ada, rasul pun ada peruntukan yang Allah bagi. Ini nampak lebih (hebat) daripada rasul ni. Mungkin dia malaikat kot, dia tak makan gaji,” katanya.

Related Posts

Pemansuhan AUKU: Mahasiswa tidak lagi dihukum kerana bersuara

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) menyokong penuh hasrat kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Ogos…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pemansuhan AUKU realisasi perjuangan Anwar sejak zaman mahasiswa

PEMANSUHAN Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) disifatkan sebagai realisasi perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejak beliau menjadi aktivis mahasiswa. Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

RM4.3 juta diluluskan untuk tiga hospital di Sabah

RM4.3 juta diluluskan untuk tiga hospital di Sabah

Pemansuhan AUKU: UNIMAS sambut baik usaha KPT perkasa perundangan pendidikan tinggi

Pemansuhan AUKU: UNIMAS sambut baik usaha KPT perkasa perundangan pendidikan tinggi

Pusat Jantung Sabah dijangka beroperasi suku ketiga 2029

  • By Fatin
  • August 17, 2026
Pusat Jantung Sabah dijangka beroperasi suku ketiga 2029

Polis Pahang nafi lindungi kartel dadah Genting Highlands

Polis Pahang nafi lindungi kartel dadah Genting Highlands

Pemansuhan AUKU: Mahasiswa tidak lagi dihukum kerana bersuara

Pemansuhan AUKU: Mahasiswa tidak lagi dihukum kerana bersuara

Pengeluaran jagung bijian tempatan mampu bantu stabilkan harga ayam, telur

Pengeluaran jagung bijian tempatan mampu bantu stabilkan harga ayam, telur