
KUCHING – Sukan mampu menjadi penghubung kepada lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan umur.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim, beliau sangat teruja dengan kehadiran yang menggalakkan daripada masyarakat.
“Kesemuanya aktif mengambil bahagian sama ada aktiviti berbentuk minda seperti permainan dam haji ataupun aktiviti fizikal seperti pertandingan aerobicthon,” kata beliau.
Ujar beliau, aktiviti bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah mengeratkan hubungan antara kaum dan pelbagai latar belakang.
“Sukan juga berperanan sebagai jambatan yang menghubungan semua masyarakat sekali gus membuktikan kita mampu bersatu padu walaupun berbeza pendapat,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Bahagian Samarahan, Sekolah Kebangsaan Pangkalan Kuap pada Sabtu. Turut hadir bersama adalah En. Abu Zaid Bin Abu Bakar, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Samarahan.
Sementara itu, Hamzah juga berkata, sukan mampu memberi kesan kepada ekonomi yang lebih progresif.
“Ia juga membuka banyak peluang kepada pekerjaan, pembuatan barangan serta perkhidmatan sukan, pembangunan infrastruktur sukan dan perniagaan sukan,” ujar beliau.
Tambah beliau, sukan mampu menjana pendapatan yang berterusan sekali gus menjadi sumber yang mampu memperkukuhkan rantaian ekonomi.
Acara Hari Sukan turut mengadakan beberapa aktiviti menarik seperti pertandingan bola sepak sarung, gusti lengan wanita, pameran sukan paramotor dan berjalan ria Madani.


