
LUNDU – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi faktor penting dalam memenuhi permintaan industri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, TVET kini bukan dipandang sebagai pendidikan kelas kedua.
“Hari ini, kita melihat ramai dalam kalangan anak muda berebut-rebut mahu memasuki jurusan TVET,” kata beliau.
Ujar beliau, TVET pada hari ini dilihat sebagai pemacu utama dalam usaha kerajaan meningkatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Jumlah kemasukan pelajar kini mencecah lebih 408,000 pada 2023 di pelbagai institusi pendidikan menunjukkan masyarakat menerima pendidikan TVET,” kata beliau lagi.
Beliau berkata lagi, lebih 635 kerjasama dengan syarikat domestik dan global berjaya diwujudkan.
“Semasa lawatan saya ke China, mereka menawarkan 5,125 tempat untuk pelajar Malaysia mengikuti pengajian TVET secara percuma.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif TVET HRD Corp- Centexs Comercial ke Centexs Lundu pada Sabtu.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, bidang TVET semakin menjadi pilihan utama majikan.
“Graduan TVET hari ini bukan sahaja mampu mengisi kekosongan pekerjaan, tetapi menjadi aset penting dalam sektor strategik negara,” katanya.
Tambah beliau, TVET melahirkan graduan yang bersedia memenuhi keperluan industri terutama bidang teknologi tinggi seperti aeroangkasa, perkapalan, teknologi rel, robotik, dan satelit melalui Program TVET Aras Tinggi (Hi-TVET).
“Kejayaan TVET terbukti melalui kadar kebolehpasaran graduan
yang kini mencapai 94.5 peratus di peringkat kebangsaan.
” Statistik ini jelas mencerminkan keberkesanan ekosistem TVET dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi yang berdaya saing serta bersedia untuk
menyumbang kepada pembangunan negara,” jelas beliau lagi.




