
KOTA TINGGI – Cakna dengan aduan dan keselamatan membabitkan rakyat negeri ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengadakan lawatan mengejut ke Hospital Kota Tinggi, di sini, petang semalam.
Menurut beliau, lawatan secara bersahaja itu diadakan bagi menilai dan melihat sendiri keadaan fasiliti kesihatan daerah ini.
“Saya telah mengadakan lawatan ke Hospital Kota Tinggi susulan daripada aduan orang ramai mengenai beberapa isu seperti masalah kekurangan fasiliti dan kesesakan yang mengganggu kelancaran perkhidmatan kesihatan.
“Menerusi lawatan ini, saya telah dimaklumkan bahawa Klinik Kesihatan Kota Tinggi yang baharu dijangka akan beroperasi pada awal tahun hadapan.
“Manakala Klinik Pesakit Luar akan dipindahkan ke lokasi baru. Oleh demikian, kaedah ini dijangka membantu mengurangkan masalah kesesakan di hospital ini nanti,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau malam tadi.

Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa mengambil serius setiap aduan yang diterima, khususnya berkaitan perkhidmatan kesihatan.
Katanya, pelbagai langkah sedang diteliti, termasuk menambah baik infrastruktur hospital, menambah bilangan katil ruangan kecemasan, memperbaiki sistem pengudaraan serta memperkukuh sistem pengurusan demi memastikan perkhidmatan yang lebih cekap dan selesa dapat diberikan kepada rakyat Johor.
“Insya-Allah, segala usaha ini akan disegerakan demi memastikan rakyat sentiasa mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang berkualiti,” katanya.
Ketika ini, kawasan Hospital Kota Tinggi ini turut merangkumi perkhidmatan bagi klinik kesihatan daerah dan rawatan pesakit luar sekaligus menyebabkan kesesakan luar biasa seperti kehadiran pesakit dan pelawat terlalu ramai.
Malah, masalah ketiadaan tempat letak kenderaan juga menjadi isu utama selain kerosakan alatan kesihatan bagi kegunaan pesakit seperti katil dan kerusi roda.





