
MENURUT sumber perubatan, setakat Khamis, angka korban di Gaza terus meningkat kepada 41,788 rakyat Palestin terbunuh, dengan 96,794 lagi tercedera majoritinya melibatkan kanak-kanak dan wanita.
Tambah sumber itu, sekurang-kurangnya 10,000 orang lagi masih belum dikesan dan terbunuh, dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Terbaharu pagi Jumaat, pesawat Israel melancarkan serangan pada waktu subuh ke arah beberapa kawasan penempatan rakyat Palestin di Khan Yunis dan Deir al-Balah di Semenanjung Gaza sehingga menyebabkan beberapa orang mati syahid.
Sumber perubatan melaporkan bahawa tiga rakyat mati syahid dan beberapa lagi cedera dalam pengeboman yang menyasarkan sebuah rumah di timur bandar Deir al-Balah, di tengah Semenanjung Gaza.
Tentera pendudukan Israel turut mengebom rumah dan kem penempatan penduduk Gaza di Deir al-Balah dan Khan Yunis dengan melemparkan bom api yang menyebabkan kebakaran beberapa buah rumah di kem Nuseirat.
Di Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza, pesawat pendudukan mengebom beberapa tapak dan menyasarkan sebuah rumah milik keluarga Abu Jazar di kawasan Ma’an, timur bandar itu, mengakibatkan beberapa orang syahid dan cedera.
Terdahulu pada Khamis, penjajah Israel telah melakukan lapan pembunuhan beramai-ramai terhadap beberapa keluarga di Semenanjung Gaza, sehingga menyebabkan 99 orang syahid, 169 lagi cedera dan telah dibawa ke hospital dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Selain itu, sumber menjelaskan bahawa beberapa mangsa dalam serangan tersebut masih belum diselamatkan akibat pihak ambulans dan pertahanan awam tidak dapat mengesan mereka yang terperangkap di bawah runtuhan dan jalan raya.








