
KLUANG – Pengundi Orang Asli pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota mengalu-alukan kerjasama erat wakil rakyat yang bakal dipilih demi masa depan mereka.
Tok Batin Kampung Orang Asli Tanah Runtuh Mohd Noorsham Abdullah berkata, komuniti Orang Asli amat berharap supaya silaturahim juga antara pemimpin akan sentiasa terjalin baik.
“Pada saya senang saja, jangan pinggirkan masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Tanah Runtuh di samping satu-satunya kelompok Orang Asli di DUN Mahkota.
“Jadi perlu turun ke lapangan dan melihat sendiri apa yang perlu dibantu. Sekurang-kurangnya boleh mengeratkan lagi hubungan sesama pemimpin dan penduduk kampung Orang Asli di sini.
“Seandainya ada hubungan baik kedua-dua belah pihak, memudahkan lagi sebarang urusan secara terus dapat dijalankan dengan posisi saya sebagai Tok Batin,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press pada Sabtu.

Dia berkata, hubungan baik itu perlu diteruskan oleh wakil rakyat kerana penyandang DUN Mahkota terdahulu, Sharifah Azizah Syed Zain amat mengambil berat tentang penduduk kampung tersebut.
“Memandangkan penyandang terdahulu, Allahyarham Datuk Sharifah Azizah juga begitu rapat dengan mesra dengan penduduk kampung di sini. Jadi kita mahu ia diteruskan,” katanya.
Hari ini, seramai 64 pengundi dari Kampung Orang Asli Tanah Runtuh selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil, 8.15 pagi.





