KLUANG – Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa masih meneruskan naratif bahawa calon Barisan Nasional (BN) akan menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan aura yang dimiliki oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam membangunkan ekonomi serta komited dalam menjaga kebaikan rakyat dilihat mampu menarik hati pengundi, khususnya golongan muda.
Menurut beliau, rakyat juga berpuas hati dengan cara kepimpinan kerajaan negeri dalam mempamerkan kematangan berpolitik, walaupun Johor tidak menubuhkan Kerajaan Perpaduan seperti yang dipraktikkan di peringkat Putrajaya.
“Tak berbangkit rasanya soal kita nak melawan Kerajaan Negeri Johor atau menidakkan keupayaan menteri besarnya namun walaupun saya bukan lagi UMNO, negeri ini memang terbaik.
“Malah, bukan sahaja Menteri Besar yang bagus, namun di Johor dari atas payung (Kesultanan Johor) sampai di bawah memang bagus. UMNO di sini pun sangat berbeza berbanding di negeri lain,” katanya pada Ceramah Umum PN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung baharu.
Sehubungan itu, Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN), menyeru agar pengundi di PRK DUN memberi undi kepada Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah, demi kelestarian pembangunan Johor walau tidak dapat dipastikan adakah ia hanya permainan ‘reverse psychology’.
“Mana bagus kita kata bagus, tak perlu malu (nak bersuara) kepada benda yang betul. Kita (PN) tak bergaduh dengan UMNO di Johor kerana orang di sini semuanya baik hati.
“Tiada keperluan (PN) untuk berlawan di negeri Johor berikutan kerajaan negeri, khususnya Menteri Besar Johor sangat komited dalam menyelesaikan masalah. Beliau seorang pemimpin yang bagus,” katanya.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.
BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) yang lepas manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.
Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.





