
KLUANG – Kempen Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dilihat terus menyentuh unsur Kaum, Agama dan Raja (3R).
Terdahulu, dalam Ceramah Kelompok PN di Kampung Baru, di sini, Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali membuat tuduhan bahawa Malaysia bakal jatuh ke tangan kaum Cina berikutan kewujudan projek Forest City yang memberikan manfaat kepada golongan berkenaan.
“Saya merasakan seramai 1.2 juta warganegara China yang pernah didakwa berada di Malaysia melalui projek Forest City itu sememangnya wujud. Mungkin mereka dah jadi suami orang, isteri orang, dah berkeluarga, kemudian mohon taraf kewarganegaraan pula untuk jadi rakyat Malaysia.
“Kalau perkara ini terus dibiarkan, tak mustahil kawasan tersebut akan dimonopoli oleh kaum itu. Kemudian, bila mereka dah semakin ramai, nanti letak calon wakil rakyat pun berbangsa Cina.
“Seterusnya, semakin banyaklah kawasan yang akan ditadbir oleh masyarakat Cina dan tak mustahil jika dibiarkan satu hari nanti, Malaysia ini akan dipimpin di bawah orang Cina,” katanya ketika berucap malam tadi.
Ceramah berkenaan jelas berunsur perkauman sekaligus menunjukkan PN gagal mematuhi saranan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi agar berkempen cara Johor.
Bagaimanapun, memetik laporan Berita Harian pada Disember 2023, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini pernah berkata, biarpun Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan seseorang Perdana Menteri dari bangsa apa, namun dinamik kaum di Malaysia akan menentukan jawatan utama kerajaan itu diterajui oleh kaum mana.
Beliau berkata, di Malaysia, biarpun orang Melayu berpecah dari segi politik, mereka masih membentuk kaum majoriti.
“Sehingga dan melainkan majoriti Melayu merasakan bahawa mereka boleh menerima bukan Melayu sebagai Perdana Menteri, itu adalah status quo ante,” katanya.
Malah, isu sama turut pernah diulas veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dalam laporan berita sama yang antara lain menyebut bahawa tiada sekatan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.
Namun, Kit mengakui adalah mustahil untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri Malaysia jika tidak mempunyai sokongan daripada sejumlah besar kaum dalam negara ini iaitu Melayu sendiri.

