
KUCHING – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak membawa pertuduhan terhadap 16 individu warga tempatan iaitu 11 lelaki dan 5 wanita berusia antara 20 hingga 37 tahun.
Menurut kenyataan media Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata, semua tertuduh dihadap ke Mahkamah Majistret Kuching atas tuduhan menjalankan aktiviti penipuan pelaburan dalam talian yang tidak wujud.
Kesalahan ini didakwa di bawah Seksyen 120B(1) dan Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
Jika disabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Kesemua tertuduh ditangkap pada 14 Ogos lalu di sebuah premis di Kuching kerana terlibat dalam sindiket penipuan tersebut.
Pendakwaan kes dilakukan oleh ASP Suziana Sulaiman di hadapan Majistret Mason Jaro Lenya Barayan.
Semua tertuduh mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM1,000 setiap seorang dengan penjamin tempatan.
Menurut kenyataan media lagi, pihak majistret menetapkan kes tersebut pada 15 Oktober ini.







