PARIS – Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) aplikasi Telegram, Pavel Durov ditahan di lapangan terbang Bourget, dekat Paris, petang semalam, lapor media Perancis, TF1 TV dan BFM TV.
Aplikasi Telegram yang memiliki pengaruh meluas di Russia, Ukraine dan republik bekas Kesatuan Soviet disenaraikan sebagai satu daripada platform media sosial utama selepas Facebook, YouTube, WhatsApp, Instagram, TikTok dan Wechat.
Ia menyasarkan untuk mencecah satu bilion pengguna tahun depan.
Durov yang juga kelahiran Russia mengasaskan Telegram yang berpangkalan di Dubai.
Dia meninggalkan Russia pada 2014 selepas enggan mematuhi tuntutan kerajaan untuk menutup komuniti pembangkang di platform media sosial VK miliknya, yang mana ia sudah dijual.
TF1 dalam laman webnya memaklumkan, Durov dalam perjalanan dengan menaiki jet peribadinya.
Agensi berita itu memetik sumber sebagai berkata jutawan terbabit ditahan di Perancis sebagai ‘sebahagian daripada siasatan awal polis’.
TF1 dan BFM turut melaporkan penyiasatan tertumpu kepada kekurangan moderator di Telegram dan polis menganggap situasi itu membawa kepada aktiviti jenayah berterusan di aplikasi terbabit.
Setakat ini, Telegram tidak memberikan sebarang respons ketika dihubungi Reuters.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri dan polis Perancis juga belum memberikan sebarang komen mengenainya.







