
GUA MUSANG – UMNO menyifatkan Bersatu ketandusan calon apabila calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri itu baru sahaja menyertai parti itu dua hari sebelum diumumkan sebagai calon semalam.
Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman berkata, tindakan itu juga mencerminkan Bersatu sebenarnya telah hilang taring dan hanya menjadi boneka kepada rakan gabungan parti komponen berkenaan.
“Keputusan mengheret calonnya yang juga Bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail pada saat akhir menyertai parti Bersatu ini umpama satu cerita kartun malah Bersatu juga telah kalah dengan gesaan Pas.
“Mereka mahu menghalakkan cara kuota parti tetapi sehingga terpaksa mengambil calon dari Pas dan bagi saya Bersatu telah terkubur.
“Bersatu juga sanggup menyerahkan maruah kepada rakannya (Pas) sendiri dalam kata lain juga dapat diumpamakan Bersatu ada isteri tetali terpaksa serahkan isteri kepada rakan sendiri.
“Bersatu hanya tinggal pada nama,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Zawawi turut mengingatkan pengundi di Nenggiri agar membuat pilihan yang tepat dan memilih calon mereka yang boleh memberi perubahan.
“PRK ini kita menyaksikan kedua-duanya adalah calon muda jadi kita serah kepada pengundi untuk memilih. Kalau mereka mahu ubah maka ubah lah pada hari pengundian tidak lama lagi,” katanya.




