
PERBUATAN bertemu dukun mahupun bomoh bagi mengubati sihir atau mendapatkan pandangan mengenai sesuatu urusan adalah haram di sisi agama Islam.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi satu perkongsian di Facebook memaklumkan perbuatan tersebut jelas membawa kepada pergantungan selain kepada Allah SWT.
“Hukum pergi kepada tukang ramal (dukun) bagi meminta mengubati sihir yang dihadapi adalah haram. Perlakuan itu boleh membawa syirik kepada Allah.
“Semoga kita dijauhkan daripada perkara-perkara yang boleh membawa kepada syirik kepada-Nya dan mengurniakan kepada kita kefahaman dalam mengamalkan suruhanNya,” katanya.
Mengulas lanjut, Jakim memaklumkan, mendatangi tukang ramal atau dukun adalah salah satu jenis daripada syrik kepada Allah, berikutan keyakinan dengan mengetahui yang ghaib atau pengubatan penyakit melalui perantaraan selain Dia.
“Hadis Riwayat Muslim (5957), Nabi Muhammad SAW bersabda sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam.
“Hadis Riwayat Ahmad (9171) pula, sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh ia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW,” tulisnya.
Larangan tersebut dikongsi Jakim selepas kes Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain yang mati dibunuh akibat dibuli tujuh tahun lalu kembali hangat diperkatakan baru-baru ini.
Ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang menjatuhi hukuman gantung sampai mati kepada enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana didapati membunuh Zulfarhan.
Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali yang kesemuanya kini berusia 28 tahun.
Umum mengetahui kematian menyayat hati Zulfarhan berpunca apabila namanya disebut oleh seorang ‘bomoh’ dalam cubaan mengesan pencuri komputer riba (laptop) milik salah seorang pelajar.
Difahamkan ‘bomoh’ terbabit merupakan bapa kepada salah seorang pelaku dalam kes pembunuhan anak sulung daripada empat beradik itu.
Mangsa bukan sahaja dipukul supaya mengaku mencuri komputer riba berkenaan malah Allahyarham juga ditekap menggunakan seterika wap di dalam dua bilik, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi pada 21 dan 22 Mei.
Sementara itu, pejabat Mufti Wilayah Wilayah Persekutuan menjelaskan, umat Islam yang bertemu tukang sihir dan mempercayainya, maka solatnya tidak akan diterima selama empat puluh malam.
“Perlu difahami bahawa sihir tidak mungkin dilawan dengan sihir. Begitu juga kejahatan tidak mampu untuk membatalkan kejahatan yang lain. Yang mampu membatalkannya hanyalah Allah SWT,” katanya.





