89 65 66 32 80 101 114 100 97 110 97 32 77 101 110 116 101 114 105 44 32 68 97 116 111 226 128 153 32 83 101 114 105 32 65 110 119 97 114 32 73 98 114 97 104 105 109 32 109 101 110 103 104 97 100 105 114 105 32 77 97 106 108 105 115 32 80 101 114 97 115 109 105 97 110 32 78 71 79 32 80 101 114 116 117 98 117 104 97 110 32 76 105 109 97 32 71 101 110 101 114 97 115 105 32 100 105 32 73 112 111 104 44 32 55 32 74 117 108 97 105 44 32 50 48 50 52 46 32 45 32 83 65 68 73 81 32 65 83 89 82 65 70 47 80 101 106 97
IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan gerakan belia di negara ini supaya menyahut seruan kerajaan dengan menolak rasuah, salah guna kuasa dan penindasan.
Menurut Anwar, perjuangan Rasulullah SAW suatu masa dahulu bersama kekuatan keyakinan, akidah, akhlak dan nilai, mempertahankan hak serta keadilan dengan menolak penyelewengan, kezaliman serta rasuah dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, sekiranya ia diamalkan oleh masyarakat dengan mendalami pengertian hijrah di samping ‘bangun’ daripada kemalasan untuk mengangkat martabat diri, negara pasti akan membangun dengan maju.
“Hijrah itu ertinya meninggalkan amalan lapuk dan syirik, amalan kezaliman, penindasan, fitnah yang berlaku berleluasa, maka baru kita berubah dan saya percaya Pertubuhan Lima Generasi (PLG) Malaysia ini akan membawa semangat yang sama, kita akan selamatkan bangsa dan umat kita.
“Saya kebetulan generasi lama, tetapi dalam soal mempertahankan hak, kedaulatan, saya tidak peduli … lawan tetap lawan!” katanya ketika berucap merasmikan penubuhan PLG malam tadi.
Anwar berkata, masyarakat tidak boleh leka kerana negara kini sedang bersaing untuk membangun, maka mereka perlu melengkapkan ilmu, meningkatkan pengertian keadilan dan bersatu dalam menjadikan Malaysia sebagai negara yang hebat.
“Kita perlu pelaburan, digital, kecerdasan buatan, basmi kemiskinan dan syaratnya (untuk maju) mesti ada pimpinan daripada golongan muda, PLG, pimpinan politik negara yang tolak kezaliman dan hentikan guna kuasa untuk mengkayakan diri.
“Saya beri jaminan dengan kuasa yang ada pada saya, saya akan pastikan baik PLG atau silat gayung atau apa sahaja jentera yang ada untuk mengukuhkan lagi dan mengangkat martabat bangsa menjadi bangsa yang hebat,” kata beliau.
Justeru, Perdana Menteri berkata, beliau mahu semua pihak untuk menghentikan segala perbalahan serta menggunakan semangat hijrah kerana inilah masanya untuk mereka bangun sebagai satu kekuatan di samping menunjukkan bangsa yang hebat ialah yang berilmiah, berprinsip, kuat bekerja serta menegakkan keadilan bagi negara dan masyarakat.
Pada majlis itu, Anwar turut menyampaikan sumbangan daripada PLG Malaysia kepada lima pelajar di negeri ini membabitkan dua pelajar cemerlang 4A Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Penggal 1 2024, seorang pelajar cemerlang 4A STPM Penggal 2 2024 dan dua pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.


