
TAWAU – Seramai 18 individu pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Bersepadu Siri 2/2024 yang dikoordinasikan oleh Eastern Sabah Security Command (Esscom) di sini pada Khamis.
Komander Esscom, Datuk Victor Sanjos berkata, 18 individu daripada 187 orang yang diperiksa itu ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.
“Objektif utama operasi bersepadu ini adalah demi menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) selain bertujuan membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai serta mengekang penyusupan PATI.
“Pihak berkuasa yang terlibat turut menguatkuasakan undang-undang terhadap kesalahan-kesalahan lain khususnya di kawasan pintu keluar masuk utama warga asing serta penduduk setempat yang menetap sekitar sempadan antara Malaysia dan Indonesia.
“Esscom turut komited dalam mencapai misi tiada lagi pencerobohan kali kedua dan mengekalkan sifar penculikan (KFR) yang menjadi misi utama.
“Ia adalah berdasarkan rekod tangkapan serta pemantauan pihak berkuasa mendapati PATI berpotensi dijadikan sebagai tali barut kepada elemen jenayah rentas sempadan di ESS Zone,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Tambah beliau, Esscom akan terus memperhebatkan operasi bersepadu seumpama ini ke daerah-daerah ESS Zone bagi mengekang elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam di pantai Timur Sabah.
Selain itu, katanya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa 103 kenderaan dan mengeluarkan sebanyak 41 keping saman atas pelbagai kesalahan.
Menurut beliau, kejayaan operasi ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan melalui Operasi Sanggah Esscom bagi memperkasa operasi-operasi sedia ada di bawah jabatan dan agensi berkuasa Kerajaan Persekutuan dan Negeri menguatkuasakan undang-undang di ESS Zone.
Dalam pada itu, Victor merakam penghargaan kepada para petugas seramai 151 orang daripada agensi penguatkuasaan keselamatan Persekutuan dan Negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terlibat atas kejayaan Operasi Bersepadu Tawau yang dilaksanakan di sekitar kawasan Jeti Awam Tawau dan Kampung Kurnia Jaya Batu Empat Apas ini.
“Justeru itu, masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi Esscom di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072,” katanya.




