SERAMAI 14,179 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 atau 3.7 peratus berjaya memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- bagi semua mata pelajaran.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata, pencapaian ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.6 peratus atau 2,446 calon berbanding tahun 2023 iaitu 11,713 calon.
Azman berkata, sejak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan syarat wajib lulus bagi subjek Bahasa Melayu dan Sejarah pada 2013, pada tahun ini menunjukkan keputusan terbaik.
“Bilangan calon mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran pada 2024 turut menunjukkan peningkatan 0.4 peratus iaitu seramai 86,040 berbanding 83,112 calon pada tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar keputusan SPM 2024, di sini pada Khamis.






