
KOTA KINABALU – Dua lelaki maut manakala seorang remaja parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah lori dan sebuah motosikal di lampu isyarat bawah jejambat berhampiran Taman Indah Permai, Sepanggar, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner (ACP) Kasim Muda berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 4 petang apabila lori dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an bersama seorang penumpang lelaki berumur 17 tahun datang dari arah Perumahan Kastam/Tebobon menuju ke arah Sepanggar.
“Siasatan awal mendapati pemandu lori dipercayai melanggar lampu isyarat merah dan merempuh sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang ketika itu sedang melalui persimpangan selepas lampu isyarat bertukar hijau,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Akibat pelanggaran itu, lori berkenaan terbabas dan melanggar tiang jejambat, menyebabkan kedua-dua mangsa dalam lori disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

Sementara itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Kasim menasihatkan orang ramai agar sentiasa memandu secara berhemah dan mematuhi lampu isyarat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Sabar dan berhati-hatilah ketika memandu, lebih-lebih lagi di persimpangan lampu isyarat,” katanya.






