
KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani bertekad untuk memastikan segala ikhtiar yang dirancang dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dengan 132 jumlah keseluruhannya dapat dilaksanakan mengikut garis masa yang ditetapkan dan lebih pantas mengambil langkah intervensi sekiranya diperlukan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, dalam menggarap Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) adalah amat penting untuk memastikan pelan ini tidak kekal sebagai satu lagi dokumen tanpa impak yang sebenar.
Menurut beliau, Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) akan dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanggungjawab sepenuhnya kepada segala pelaksanaan pemantauan PuTERA35.
“Semua pemegang taruh yang relevan akan terlibat sama dan MEB akan dibantu oleh dua jawatankuasa, iaitu Jawatankuasa PEMANDU MEB yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah manakala Jawatankuasa Kerja MEB akan dipengerusikan oleh saya sendiri daripada Kementerian Ekonomi.
“Pemantauan keberhasilan PuTERA35 akan lebih berobjektif dan berpandukan data menerusi satu pembangunan ‘dashboard’ supaya boleh memaparkan segala data terkini yang bersesuaian bagi memudahkan segala langkah intervensi diambil sekiranya diperlukan,” katanya.
Jelas Rafizi, pemantauan 132 ikhtiar yang diselaras dan diurus pelbagai kementerian dan agensi sudah tentu mengambil masa maka ‘dashboard’ ini akan berfungsi untuk menyatukan data dengan lebih kemas dan paparan yang lebih jelas.
“Setakat akhir Julai 2024, lapan ikhtiar yang telah diumumkan lebih awal oleh Perdana Menteri dalam Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 ketika Mac 2024 turut menunjukkan kemajuan dan telah diambil tindakan,” kata beliau.