
KOTA KINABALU – Sebanyak 119 kilang dimiliki pelabur tempatan dan asing yang beroperasi di Lahad Datu dengan jumlah pelaburan sebanyak RM3.66 bilion.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, daripada jumlah itu, 39 syarikat tempatan dan 9 syarikat asing beroperasi di POIC Lahad Datu dengan nilai pelaburan keseluruhan berjumlah lebih RM2.3 bilion.
Beliau berkata, pengoperasian kesemua kilang itu menyediakan peluang pekerjaan kepada 7,305 orang yang merangkumi pelbagai sektor pembuatan yang aktif dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat.
“Di Silam sahaja, lima kilang yang beroperasi dengan jumlah pelaburan sebanyak RM40 juta menyediakan 334 peluang pekerjaan. sementara 66 kilang lagi dengan pelaburan RM1.2 bilion berjaya mewujudkan 5,021 peluang pekerjaan.
“Kehadiran industri-industri di daerah Lahad Datu ini pasti dapat membantu memacu pertumbuhan sosioekonomi serta memperkukuh sektor perindustrian di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan ADUN Silam, Dumi Pg. Masdal berkenaan jumlah syarikat tempatan dan pelabur asing di Lahad Datu khususnya Silam dan jenis pelaburan syarikat-syarikat di POIC Lahad Datu.
Menurut Phoong, kerajaan Sabah selaras aspirasi hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) komited dalam menarik lebih banyak pelaburan strategik ke POIC Lahad Datu bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri khususnya di Pantai Timur Sabah.
Justeru katanya, POIC Lahad Datu menerima beberapa pelaburan terkini yang signifikan antaranya Projek Neptune oleh TS Asia Green Infrastructure Sdn Bhd yang dilancarkan Februari lalu.
“Projek bernilai RM9.2 bilion dan dijangka akan mewujudkan 3,500 peluang pekerjaan ini bakal membangunkan terminal penyimpanan minyak dan kilang penapisan bertaraf dunia di POIC Lahad Datu.
“Selain itu pelaburan projek bagi memanfaatkan sisa biojisim bernilai RM400 juta oleh Legenda Biomass Sdn Bhd selain perjanjian kerjasama antara POIC Sabah Sdn Bhd dan Jetama Sdn Bhd yang dimeterai Disember tahun lepas untuk membangunkan sistem penyahgaraman air laut bagi menghasilkan air industri,” ujarnya.
Jelas Phoong, sebelum ini juga kerajaan Sabah meluluskan Dasar Industri Biojisim (Biomas) Kelapa Sawit Negeri Sabah pada bulan Februari 2024, selaras dengan keperluan untuk membangunkan industri biojisim dan kelestarian alam sekitar di negeri ini.
Katanya, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) juga telah memberi Kelulusan Dasar kepada POIC untuk membangunkan Zon Bebas di POIC Lahad Datu.
“Penubuhan Zon Bebas di POIC Lahad Datu dijangka akan menjadi salah satu penggerak utama (key enabler) atau pemangkin untuk membuka potensi penuh POIC Lahad Datu dalam menarik lebih banyak pelaburan khususnya ke Pantai Timur Sabah dan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat negeri ini,” tambahnya.







