
LABUAN – Zon Maritim Wilayah Persekutuan Labuan berjaya menahan sebuah kapal kargo atas kesalahan gagal mengemukakan pertukaran nahkoda di kedudukan 1.16 batu nautika Barat Daya Pulau Papan, di sini pada Selasa.
Pengarahnya, Kapten Maritim Izwanhadi Idros berkata, pemeriksaan telah dibuat oleh bot peronda Maritim Malaysia dalam rondaan Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 3.0 pada pukul 11.20 pagi.
“Pemeriksaan dilakukan terhadap kapal kargo berwarna hijau yang sedang bersauh di lokasi tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati kapal itu dipercayai dikendalikan oleh warga tempatan terdiri daripada ‘Master’ dan ‘Chief Officer’ masing-masing berusia 57 dan 50 tahun.
“Kes disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu gagal mengemukakan pertukaran nahkoda kepada pegawai pelabuhan,” katanya dalam kenyataan itu pada Rabu.
Menurut Izwanhadi, ‘Master’ dan ‘Chief Officer’ berkenaan berserta dokumen telah ditahan masuk ke jeti Zon Maritim Labuan untuk siasatan lanjut.
“Orang ramai boleh menyalurkan informasi kelakuan jenayah di laut dengan terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam setiap hari,” katanya.





