
KUCHING – Kerajaan Sarawak menghargai pengiktirafan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai agregator gas tunggal di Sarawak.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerusi kenyataan rasmi hari ini berkata kenyataan Perdana Menteri semasa di Dubai jelas mengiktiraf dan mengesahkan PETROS sebagai agregator gas tunggal di Sarawak.
“Sarawak menerusi PETROS akan terus bekerjasama dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bagi memastikan PETROS melaksanakan peranannya sebagai agregator gas tunggal tanpa sebarang gangguan terhadap bekalan gas kepada pengguna,” ujar beliau.
Tambah beliau, Sarawak juga menghargai peranan Kerajaan Persekutuan dan Petronas dalam menyelesaikan isu ini.
“Langkah ini akan meningkatkan kerjasama antara Petronas dengan PETROS,” kata beliau.
Jelas beliau lagi, kerjasama strategik sebegini akan mempercepat usaha untuk menjadikan Malaysia khususnya Sarawak sebagai hab tenaga.
“Saya percaya kerjasama ini juga meningkatkan daya saing global Malaysia dalam menarik pelaburan, penyelidikan teknologi serta industri baharu, terutama derivatif petrokimia, selaras dengan penciptaan pekerjaan berpendapatan tinggi dan pertumbuhan ekonomi negara,” kata beliau lagi.
Sebelum ini, Anwar percaya isu Petronas-PETROS sudah pun selesai selepas pertemuannya dengan Premier Sarawak pada 7 Januari lalu.
Menurut Anwar, Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 74) terus diterima sebagai rangka kerja utama pengurusan industri minyak dan gas negara.
“Apabila kita teliti, tidak ada kemusykilan mengenai beberapa perkara dasar yang harus mencurigakan. Kita perlu terima Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) terpakai diseluruh negara dan ini diterima oleh Sarawak dan Petros,” jelas Anwar.
Tambah Anwar, semua pihak juga terima kenyataan bahawa Petros ini diwujudkan untuk memberi ruang kepada Sarawak menerokai program cari gali dan pengedaran gas di Sarawak.
“Jadi keputusan kita ialah semua perjanjian yang telah termeterai tidak diganggu kerana gangguan ini tentunya akan mempersulit hubungan dengan syarikat-syarikat besar antarabangsa,” kata Anwar lagi.




