
PUTATAN – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyalurkan sumbangan berjumlah RM46,500 bagi program Aidilfitri MADANI YAPEIM yang memanfaatkan golongan memerlukan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, program itu menyantuni asnaf, golongan istimewa asnaf dan pelajar.
“Sumbangan itu antaranya bantuan tunai Sinar Kasih berjumlah RM200 diberi kepada 50 keluarga berjumlah RM10,000, sumbangan Program Pembangunan Ekonomi kepada lima persatuan berjumlah RM5,000, sumbangan infrastruktur, sumbangan kepada institusi pendidikan, masjid dan pelajar berjumlah RM15,000 dan bantuan lain kepada 400 penerima berjumlah RM16,500.
“Ini tanggungjawab yang dilaksanakan oleh YAPIEM dan bukan sahaja YAPIEM, tetapi kebanyakan agensi-agensi di bawah menteri jabatan Perdana Menteri,” katanya semasa sidang media Majlis Perasmian Program Aidilfitri MADANI YAPEIM Peringkat Negeri Sabah di Masjid Dhuyufur Rahman, di sini, pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Pengarah YAPEIM, Zabidi Nasan dan Pengarah Divisyen Perkhidmatan YAPEIM, Khairul Anuar Ibrahim.
Turut disampaikan sumbangan Tabung Musaadah JAKIM berjumlah RM27,300 bagi 91 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa kebakaran Kampung Cempaka, Likas, Kota Kinabalu.

Difahamkan, sebelum ini YAPEIM memperuntukan sejumlah RM1.2 juta bagi program Ramadan MADANI YAPEIM di lebih 25 lokasi di seluruh negara yang memanfaatkan 7,700 pelajar yang memerlukan.




