
SIPITANG – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Sindumin, Datuk Yamani Hafez Musa memberi jaminan bahawa pembangunan industri minyak dan gas di Sipitang akan diterjemahkan kepada peluang pekerjaan sebenar untuk anak muda di kawasan itu sekiranya beliau diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
Katanya, lonjakan industri tenaga di sepanjang koridor Sipitang perlu dimanfaatkan oleh penduduk tempatan khususnya generasi muda yang menjadi tulang belakang ekonomi Sindumin.
“Kita perlu memastikan peluang pekerjaan daripada industri-industri yang membangun di Sipitang benar-benar memberi manfaat kepada anak-anak muda.
“Kita sudah serahkan langkah-langkah yang akan diambil untuk memastikan anak muda di Sindumin mendapat peluang kerja dalam industri minyak dan gas khususnya, katanya ketika ditemui media selepas Penamaan calon di Dewan Serbaguna Sipitang, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa suasana politik di Sindumin hari ini mencerminkan kematangan rakyat serta minat tinggi untuk menyertai proses demokrasi.
“Hari ini melibatkan 10 orang di Sindumin ia menunjukkan bahawa di Sindumin ini, banyak orang merayakan demokrasi dan sangat berminat untuk berpartisipasi antara pilihan rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut isu hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat akar umbi, Yamani menolak dakwaan bahawa wujud ketegangan serius antara PKR, BN dan GRS.
“Saya rasa PKR dengan BN dan GRS, biarpun ada kenyataan tertentu tapi secara dalaman dan akar umbi, kita masih lagi boleh bersatu dan bekerjasama.
“Yang paling penting ialah kemajuan masyarakat setempat,” katanya.
Yamani turut menjelaskan bahawa pengalaman beliau sebagai bekas Timbalan Menteri di peringkat Persekutuan memberi kelebihan dalam mengembangkan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Pusat bagi memastikan Sindumin tidak tercicir daripada aliran peruntukan pembangunan.
“Pengalaman di peringkat Persekutuan sangat penting.
“Hubungan pusat dan negeri perlu diperhebatkan kerana tanpa kerjasama ini, kita tidak mahu masyarakat atau kawasan kita ketinggalan dari segi peruntukan,” ujarnya.
PRN17 Sabah dijangka menyaksikan persaingan sengit di Sindumin, namun Yamani optimis bahawa agenda peluang pekerjaan, kestabilan politik dan hubungan kerajaan yang berkesan akan menjadi penentu keyakinan pengundi di kawasan ini.







