PUTRAJAYA – Wisma Putra berjaya menggalas tanggungjawab yang digarap Kerajaan MADANI dalam menaikkan imej negara di pentas antarabangsa, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kejayaan itu berdasarkan kunjungannya ke luar negara termasuk dalam kalangan anggota ASEAN.
“Terima kasih warga Kementerian Luar kerana dapat mengangkat ikhtiar dan usaha membanggakan serta dibebankan dengan tugas yang jauh lebih besar berbanding beberapa tahun sebelum ini.
“(Berdasarkan) pengalaman saya bersama-sama dalam kunjungan dan ke luar negara (termasuk) ASEAN terutamanya beberapa negara luar, saya melihat prestasi membanggakan bukan sahaja kepada saya tetapi juga kepada negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Luar, semalam.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Anwar berkata, Wisma Putra diterajui Mohamad juga menjadi perhubungan penting dalam membawa visi dan dasar antara Malaysia serta negara luar.
“Saya tak bergurau, ini adalah nota serius, apabila Perdana Menteri jemput, tidak semua duta datang tetapi apabila Menteri Luar buat jemputan, saya lihat ramai (duta dan wakil negara luar) hadir tanpa gagal.
“Ini secara tidak langsung membuktikan kekuatan dan pengaruh Menteri Luar, tahniah dan sekali lagi terima kasih,” katanya.






