
PEGAWAI Tadbir dan Diplomatik (PTD) akan memainkan peranan profesional, berasaskan data, serta mengambil kira realiti operasi dalam merangka dan melaksanakan dasar termasuk sektor kesihatan.
Presiden Persatuan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PPTD), Datuk Awang Alik berkata, tuduhan yang dilemparkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin atau KJ itu hanya ‘melihat pada helaian Excel’ tanpa memahami realiti hospital adalah tidak berasas dan tidak mencerminkan proses penggubalan dasar kerajaan.
“PTD telah lama menjadi tunjang dalam membangunkan dasar-dasar utama negara, termasuk di sektor kesihatan.
“Kejayaan sistem kesihatan awam Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa adalah hasil kerjasama erat antara golongan profesional kesihatan dan PTD dalam memastikan dasar yang diperkenalkan adalah seimbang dan mampan.
“Oleh itu, tuduhan bahawa PTD gagal memahami cabaran sektor kesihatan bukan sahaja tidak adil tetapi juga tidak mencerminkan realiti sebenar pentadbiran kerajaan.
“Sebagai kesimpulan, PPTD menggesa semua pihak untuk lebih memahami proses perumusan dasar sebelum membuat kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, media melaporkan Khairy mengkritik proses pembuatan keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sambil menegaskan bahawa ia dilaksanakan oleh penjawat awam yang tidak mempunyai pemahaman praktikal mengenai operasi hospital.
Dakwaan itu dibuat menerusi siaran podcast Keluar Sekejap episod 141 bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang disiarkan di Youtube, Spotify dan Apple Podcast pada Selasa lalu.
Mengulas lanjut, Awang berkata, pelaksanaan Waktu Bekerja Berlainan (WBB) tidak dirangka secara sambil lewa, sebaliknya melalui sesi libat urus yang menyeluruh dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam sektor berkenaan.
Katanya, pelaksanaan dasar ini diambil kira dan merujuk daripada piawaian antarabangsa tanpa menjejaskan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
“PTD telah lama menjadi tunjang dalam membangunkan dasar-dasar utama negara, termasuk di sektor kesihatan.
“Kejayaan sistem kesihatan awam Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa adalah hasil kerjasama erat antara golongan profesional kesihatan dan PTD dalam memastikan dasar yang diperkenalkan adalah seimbang dan mampan.
“Oleh itu, tuduhan bahawa PTD gagal memahami cabaran sektor kesihatan bukan sahaja tidak adil tetapi juga tidak mencerminkan realiti sebenar pentadbiran kerajaan,” katanya.
Tambah beliau, WBB adalah dasar yang dirangka oleh doktor untuk doktor, dan tidak ditentukan secara unilateral oleh PTD di Putrajaya.
Awang menegaskan, tuduhan bahawa PTD tidak memahami realiti sektor kesihatan adalah tidak tepat, sebaliknya, peranan PTD adalah untuk memastikan dasar tersebut dapat dilaksanakan dengan baik dalam kerangka pentadbiran negara lebih luas.
Justeru, beliau mewakili PPTD menggesa agar semua pihak untuk lebih memahami proses perumusan dasar sebelum membuat kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat.
“Kerjasama antara semua pihak berkepentingan, termasuk pegawai perubatan dan PTD, adalah kunci dalam memastikan sebarang dasar yang diperkenalkan benar-benar memberi manfaat kepada semua pihak tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan awam negara,” ujarnya.








