
SKRANG – Seorang lelaki berusia 84 tahun dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari rumah panjangnya di Rumah Richard Tawan, Tebarong, Lubok Skrang untuk mendapatkan rawatan di Klinik Skim Skrang.
Mangsa, Igoh Sengaling, dikatakan bertolak sekitar jam 7 pagi pada Rabu lalu dengan menaiki perahu miliknya bagi mengambil ubat di klinik berkenaan.
Namun, beliau tidak pulang ke rumah seperti kebiasaannya selepas selesai urusan tersebut, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa diterima kira-kira jam 9.07 malam tadi.
Susulan itu, ahli keluarga bersama penduduk rumah panjang telah menjalankan usaha pencarian awal di sekitar kawasan penempatan dan hutan berhampiran selama dua hari, namun gagal menemui sebarang petunjuk.
Laporan polis kemudiannya dibuat pada jam 7.51 malam Khamis sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan secara rasmi.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong telah menggerakkan tiga anggota diketuai Komander Operasi, Yusuf Tamin ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 21 kilometer dari balai. Pasukan tiba di lokasi pada jam 9.31 malam menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Bagi operasi hari pertama hari ini, tujuh anggota bomba telah berlepas ke lokasi pada jam 7.30 pagi dengan menaiki van bagi memperluaskan pencarian di sepanjang laluan sungai serta kawasan hutan sekitar.
Operasi SAR masih diteruskan dan pihak JBPM Sarawak akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
Foto: JBPM Sarawak







