
KOTA KINABALU – Situasi di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SMK Tandek 2 dilaporkan berada dalam keadaan terkawal susulan kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan sekitar daerah ini sejak beberapa hari lalu.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini menerusi laman Facebook rasminya berkata, keadaan mangsa yang terjejas di PPS adalah stabil dan terkawal.
“Operasi pemantauan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kebajikan mangsa sentiasa terpelihara, merangkumi aspek keselamatan, kesihatan serta keperluan asas.
“APM sentiasa bersiap siaga sekiranya berlaku peningkatan paras air atau perubahan cuaca yang tidak menentu.
“Orang awam khususnya penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinasihatkan agar terus berwaspada, memantau perkembangan semasa serta membuat persediaan awal sekiranya diarahkan berpindah ke pusat pemindahan,” ujar kenyataan media tersebut.

Dalam pada itu, APM turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan panik, sebaliknya merujuk kepada saluran rasmi untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan situasi banjir di daerah ini.
Tambahnya, sebarang kecemasan boleh dilaporkan menerusi talian 999 atau dengan menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Marudu di talian 088-661 656 bagi tindakan lanjut.







