
BARAM – Warga emas yang dilaporkan hilang ketika menjala ikan di Sungai Melana pada 4 Oktober lalu ditemui meninggal dunia.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya mendapat maklum daripada penduduk kampung bahawa mangsa, Wan Duwing berusia 66 tahun dijumpai dalam keadaan terapung.
“Penduduk kampung berjaya menemui mayat mangsa terapung kira-kira 1 km dari lokasi yang dipercayai mangsa terjatuh ke dalam sungai.
Menurut laporan lagi, mayat mangsa diserahkan kepada pihak kesihatan untuk pengesahan kematian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, Wan Duwing dikatakan pergi menjala ikan pada awal pagi tetapi tidak pulang menjelang 1 petang menyebabkan jirannya, Serina Jee, melaporkan kehilangan tersebut.
Penduduk kampung terus memulakan usaha pencarian di sekitar kawasan sungai, namun mangsa masih gagal ditemui serta usaha pencarian terganggu oleh cuaca buruk.
Pencarian berakhir apabila mayat mangsa ditemui oleh penduduk kampung pada 6 Oktober lalu.




