
SIBU – Golongan belia di Sibu perlu aktif dalam isu politik dan memperjuangkan pembangunan di kawasan pedalaman.
Dua ahli pergerakan Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop, Khaira Amirah dan Dominic Amor menyeru golongan belia untuk terus aktif dalam isu politik dan pembangunan.
Dominic berkata penyertaan belia dari kawasan pedalaman sangat penting kerana dapat memberi ruang dan suara belia.
“Kami berharap penyertaan belia dalam PBB dapat membawa suara dan harapan untuk belia,” ujar Dominic.
Tambah Dominic, banyak kemudahan asas seperti taman rekreasi, padang sukan, dan dewan untuk kursus-kursus belia masih kurang di kawasan pedalaman.
“Penyertaan belia dalam politik bukan sekadar terlibat dalam politik tetapi memperjuangkan suara dan keperluan pembangunan komuniti pedalaman di seluruh negara,” ujar Dominic lagi.
Sementara itu, Khaira menaruh harapan agar belia di seluruh negara diberi peluang untuk terlibat dalam politik terutama dalam konteks isu terkini.
“Pemahaman politik yang lebih luas mampu membantu belia untuk membuka minda dan meluaskan perspektif mereka dalam pelbagai bidang,” kata Khaira.
Tambah Khaira, semua belia PBB dapat belajar politik dan cara menangani isu semasa dengan lebih berkesan.






