
KUCHING – Seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun cedera dalam satu kejadian samun membabitkan empat lelaki bertopeng di sebuah rumah di Jalan Bako, Petra Jaya pada awal pagi semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, kejadian berlaku kira-kira jam 2.45 pagi apabila kesemua suspek dipercayai menceroboh masuk ke dalam rumah mangsa dan mengikat tangan mangsa bersama ahli keluarganya.
“Setelah berjaya melepaskan ikatan, berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek menyebabkan mangsa mengalami luka di bawah dagu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Pihak polis kini giat mengesan keempat-empat suspek yang masih bebas dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
“Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau Pegawai Penyiasat kes, Insp Muhammad Salji Ab Hamid di talian 013-2575814.




