
TAIPING – Empat individu termasuk dua kanak-kanak cedera selepas sebuah kereta bertembung dengan sebuah van dalam kemalangan di Taman Lela, Kamunting di sini, awal pagi Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.14 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipercayai bertembung dengan sebuah van jenis Toyota Hiace.
“Terdapat tiga mangsa di dalam Proton Persona iaitu seorang wanita berusia 51 tahun yang tersepit di tempat duduk pemandu serta dua kanak-kanak yang turut mengalami kecederaan.
“Pemandu van lelaki berusia lingkungan 20-an pula mengalami kecederaan ringan dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan.
Sabarodzi berkata, anggota bomba kemudiannya mengeluarkan mangsa yang tersepit dan kesemua mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kesemua mangsa dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan ambulans KKM untuk rawatan lanjut.
Operasi berjaya dikawal sekitar jam 6.35 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 7.29 pagi.




