KUANTAN – Seorang maut manakala dua lagi termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas tapak perkhemahan mereka di Pulau Santap, Janda Baik, dekat Bentong, dihempap pokok tumbang pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa maut dikenalpasti seorang wanita manakala dua yang cedera adalah lelaki.
Katanya, setakat ini identiti ketiga-tiganya masih belum diperoleh.
“Pihak kami menerima laporan mengenai kejadian jam 7.56 pagi. Sejurus mendapat laporan, 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bentong bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, mereka mendapati sebatang pokok setinggi kira-kira 15 meter menghempap sebuah khemah.
“Anggota kemudian memotong pokok sebelum menemui tiga mangsa dalam khemah terbabit.
“Mangsa membabitkan seorang wanita, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang lelaki dewasa.
“Ketika ditemui, mangsa wanita sudah meninggal dunia manakala dua lagi cedera,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Zulfadli berkata, mayat wanita yang maut itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala dua mangsa cedera, dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan.







