TAWAU – Seorang wanita yang dilaporkan hilang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sejak Jumaat lepas, ditemui selamat di lokasi sama, pada Isnin.
Haliza Iwan, 30, berkata kakaknya Leha Iwan, 32, ditemui oleh ahli keluarganya kira-kira pukul 9 malam.
“Kakak sudah ditemui di lapangan terbang juga dan dalam keadaan baik namun kami belum mendapatkan maklumat lanjut situasi sebenar dari kakak.
“Semalam ibu bapa saya sudah menarik laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau menzahirkan terima kasih atas keprihatinan orang ramai yang mendoakan dan mempermudahkan urusan pencarian kakaknya.
Jumaat lalu, Haliza memuat naik berita kehilangan kakaknya di media sosial dan memohon bantuan warganet untuk mengesan kakaknya yang hilang di KKIA selepas menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur.
Susulan itu, laporan polis juga dibuat memandangkan wanita berkenaan tidak sampai ke kediamannya di Kunak pada hari yang sama.




