
PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan wanita di Gaza kini terpaksa melahirkan anak di jalanan berikutan serangan berterusan rejim Zionis yang menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, situasi itu berlaku selepas operasi ketenteraan Israel sejak Oktober 2023 mengakibatkan sistem kesihatan lumpuh dan akses kepada rawatan perubatan terhenti.
“Serangan Israel memaksa wanita bersalin di jalanan tanpa hospital, tanpa doktor dan tanpa bekalan air bersih,” katanya pada sidang media, merujuk laporan Tabung Penduduk PBB (UNFPA), lapor Anadolu.
Menurut UNFPA, kira-kira 23,000 wanita kini tidak menerima rawatan, manakala purata 15 bayi dilahirkan setiap minggu tanpa bantuan perubatan.
Dujarric menegaskan keperluan segera melindungi orang awam, sambil menyifatkan keadaan di Gaza semakin meruncing dari semasa ke semasa.
Katanya lagi, arahan pengusiran yang dikeluarkan Israel tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab melindungi orang awam ketika konflik bersenjata.
Beliau memaklumkan Israel sekali lagi mengarahkan penduduk Gaza City berpindah dalam tempoh 48 jam ke selatan melalui laluan sementara di Jalan Salah ad Din.
“Ribuan penduduk terus melarikan diri di tengah pertempuran. Jalan raya sesak, penduduk kelaparan, manakala kanak-kanak mengalami trauma,” katanya.
PBB melaporkan hampir 40,000 penduduk dipindahkan ke selatan antara Isnin dan Selasa, dengan kira-kira 200,000 pergerakan dicatat sejak pertengahan Ogos.
Tiga pusat sokongan turut didirikan di kawasan penerimaan pelarian di selatan Gaza bagi membantu kanak-kanak yang terpisah, yatim piatu dan cedera.
Dalam perkembangan sama, Dujarric berkata, sistem kesihatan Gaza hampir lumpuh sepenuhnya dengan 80 pusat perubatan dan kesihatan primer yang menawarkan rawatan reproduktif terjejas, dan 65 daripadanya sudah tidak beroperasi.
Selain itu, Israel terus menghalang operasi bantuan kemanusiaan dengan dua misi pengambilan bekalan makanan dari sempadan Gaza semalam dibatalkan atau dinafikan.
“Misi lain dibenarkan tetapi berdepan pelbagai halangan di lapangan. Sementara itu, lintasan Zikim kekal ditutup buat hari kelima berturut-turut,” katanya.








