
MEMBAKUT – Seorang wanita cedera terlibat kemalangan jalan raya selepas kenderaannya terbabas ke bahu jalan di Jalan Kampung Mendangin, di sini, pada Selasa.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Abdul Khalid Latif berkata, mangsa Sofea Shazlynda Abdul Wahid, 31, didapati tersepit dalam kenderaan yang terlibat merupakan sebuah kereta jenis Perodua Viva.
“Mangsa kemudian berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Seterusnya, mangsa diserahkan kepada pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dihantar ke hospital dengan menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Sebelumnya, pasukan bomba yang menerima panggilan kecemasan (MERS999) pada pukul 10.12 pagi tiba ke lokasi kejadian dalam jarak 20 kilometer (km) pada pukul 10.45 pagi bergegas menjalankan operasi menyelamat mangsa,” kata beliau.
Tambahnya, seramai tujuh anggota bomba bersama dua buah jentera penyelamat dibantu oleh agensi KKM terlibat dalam operasi itu.
Operasi ditamatkan pada pukul 11.03 pagi selepas tiada bahaya lain.





