
KOTA TINGGI – Seorang pekerja kedai roti cedera di tangan kirinya selepas tersepit dalam mesin penggelek tepung, pagi tadi.
Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II, Ibrahim Wahid berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pada jam 8.48 pagi itu bergegas ke lokasi kejadian bersama tujuh anggota.
Menurut beliau, mangsa berusia 30-an ketika itu sedang bekerja di sebuah kedai roti di Tan Sri Lalang, di sini dan mengendalikan mesin berkenaan.
“Bomba bertindak mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit menggunakan ‘rescue tools’ dan menyerahkan mangsa kepada pihak hospital.
“Keadaan wanita itu dilaporkan stabil dan operasi tamat pada jam kira-kira 10 pagi,” katanya dalam kenyataan.




