
PUTRAJAYA – Pemilikan Pulau Batu Puteh kepada Singapura dilihat kecuaian yang tidak seharusnya berlaku, seolah-olah ia merupakan perbuatan mengkhianat kepada negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak ada mana-mana negara yang akan begitu mudah melepaskan tanah jajahan mereka kepada pemerintahan lain.
Oleh sebab itu, menurutnya, kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi memastikan faktor sebenar yang mendorong keputusan untuk tidak meneruskan Permohonan Semakan dan Permintaan Tafsiran kes kedaulatan Batu Puteh.
‘Mana ada negara di dunia ini yang melepaskan kawasan dengan mudah. Negara-negara berperang, kehilangan ribuan nyawa hanya untuk mempertahankan untuk wilayah kecil.
“Mengapa negara ini negara hebat Malaysia tercinta boleh izinkan pengkhianatan begitu rupa sehingga terlepas mudah tanpa menggunakan jalur hukum mempertahankan hak kita.
“Sebab itu, kerajaan Madani, setuju mengadakan Suruhanjaya Siasatan Diraja dan memutuskan apa yang sebenarnya berlaku. Walaupun ia kepulauan kecil
tetapi kerana kecuaian kita, kecuaian itu membawa pengkhianatan kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, jika wujud individu mahupun pihak yang memadang kedaulatan Batu Puteh sebagai perkara ‘enteng’, mereka merupakan kelompok yang mempunyai masalah sikap sebagai anak Malaysia.
Menurut beliau, kerajaan komited meneliti secara terperinci Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan bagi menjadi iktibar kepada anak muda terhadap pengorbanan pemimpin dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Sebab itu, kita akan bentangkan di Sidang Parlimen dan diizinkan perbahasan terbuka di Parlimen dan luar Parlimen untuk jadi pengajaran dan iktibar kepada anak-anak bangsa masa akan datang bahawa negara ini terbentuk dengan pahit getir keringat air mata darah pejuang selama beratus tahun melawan penjajah demi penjajah.
“Ia tidak boleh dikorbankan kepentinganannya. Sudah terlanjur tetapi pengajaran mesti dan wajib. Saya gunakan kesempatan sambutan kemerdekaan ini untuk ingatkan kita kepada anak muda. Anak-anak adalah penerus generasi,” katanya.
Penubuhan RCI itu dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).
Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.
Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Pada 2 Februari 2017, Malaysia telah memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan ICJ (23 Mei 2008) namun pada Mei 2018, Kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan itu dua minggu sebelum kes dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.




