KUANTAN – Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerantut, Norsarfinaz Mohd Azman dilantik Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar berkuat kuasa 1 September ini.
Pelantikan itu diumumkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan ia dibuat sebagai tanda pengiktirafan terhadap sumbangan wanita dalam memantapkan tadbir urus kerajaan negeri.
Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, pemilihan Norsarfinaz itu juga membuktikan kualiti kepimpinan wanita yang berwibawa, berpengalaman dan komited dalam memperjuangkan agenda parti dan kepentingan rakyat.
“Pelantikan itu mencerminkan keyakinan barisan pimpinan negeri terhadap peranan wanita dalam memperkukuh gerak kerja politik dan pembangunan masyarakat setempat.
![]()
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas kepercayaan diberikan kepada Norsarfinaz.
“Ini sekali gus membuktikan bahawa wanita memainkan peranan penting dalam memperkasakan UMNO dan memperkukuh perpaduan masyarakat,” katanya.
Razak yang juga Ketua UMNO Cawangan FELDA Jengka 24 memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Penyelaras DUN yang baharu itu.
Sebelum ini, jawatan Penyelaras DUN Pulau Tawar dipegang Haris Salleh Hamzah.
Bagaimanapun, Haris yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerantut dilantik sebagai ADUN Lantikan Pahang pada Mei tahun lalu.







