KUANTAN – Persatuan Taekwon-Do Negeri Pahang menerima sumbangan daripada kerajaan negeri susulan kejayaan mereka dalam kejohanan tae kwan do antarabangsa yang berlangsung di Perak, baru-baru ini.
Sumbangan itu disampaikan Pembantu Penyelaras DUN Pulau Manis, Dr Boi Saidi @ Nas Sayidi Abdul Razak yang mewakili Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Arif.
“Persatuan Taekwon-Do Negeri Pahang ITF mencatatkan kejayaan membanggakan dalam kejohanan itu.
“Mereka meraih 38 pingat dalam pelbagai kategori pertandingan sepanjang kejohanan berlangsung,” kata Boi Saidi menerusi perkongsian di Facebook.
Beliau berharap sumbangan itu menjadi pemangkin semangat kepada atlet berkenaan untuk terus mencapai kejayaan cemerlang.
“Semoga semangat juang tinggi ditunjukkan mereka dapat mengharumkan nama Pahang bukan hanya di dalam negara, tapi turut muncul sebagai antara pasukan disegani di peringkat antarabangsa,” katanya.







