GUA MUSANG – Masyarakat Orang Asli di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri berharap calon yang menang pada pilihan raya kecil (PRK) pada 17 Ogos ini akan sentiasa turun padang dan mengambil tahu masalah dihadapi penduduk.
Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Orang Asli Kuala Lah, Ahmad Faizal Ali, berkata terdapat kira-kira 3,000 Orang Asli di kawasan itu dan berharap wakil rakyat yang dipilih tidak mengabaikan mereka.
“Jika menang, wakil rakyat perlu tunjuk muka… dengan kata lain, kena rajin turun padang.
“Masuk ke kawasan kampung dan dengar luahan penduduk, kerana banyak masalah yang akan jumpa… terutama membabitkan isu jalan rosak.
“Kami hanya mahu kemudahan jalan yang lebih baik untuk anak-anak pergi sekolah,” katanya yang menetap di Taman Agropolitan Rantau Manis, dekat sini.
Ahmad Faizal memberitahu, aspek kebajikan penduduk juga perlu diberi perhatian oleh bakal wakil rakyat yang terpilih kelak.
Katanya, kemudahan jalan perhubungan dan kemudahan internet adalah antara tuntutan utama komuniti Orang Asli di kawasan terbabit.
“Kami tidak mahu lebih… hanya berharap generasi kami akan datang dapat menikmati kemudahan lebih baik seperti masyarakat di bandar.
“Buat masa ini, kami masih perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk keluar ke bandar Gua Musang.
“Lepas ini, biarlah kami boleh guna kenderaan sendiri, terutama kereta jika ada urusan penting di Gua Musang,” ujarnya.







