
SIBU – Universiti Teknologi Sarawak (UTS) meneruskan inisiatif tanggungjawab sosialnya dengan menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 60 keluarga pelajar kurang berkemampuan di sekitar Sibu menerusi program amal ‘Nourishing Hope Through Kindness’.
Timbalan Naib Canselor (Akademik) Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Profesor Dr Mohammad Shahril Osman berkata, sumbangan itu akan diagihkan secara berperingkat sehingga 16 Mac dengan bantuan sukarelawan universiti.
“Program ini diadakan bagi meringankan beban keluarga pelajar yang kurang berkemampuan terutama dalam menghadapi bulan Ramadan.
“Selain membantu dari segi keperluan asas, kami juga berharap ia dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan tanggungjawab sosial dalam masyarakat,” katanya.
Beliau turut menghargai kerjasama Hijrah Suri, sebuah organisasi yang bertanggungjawab menguruskan pembelian, penyusunan, dan pembungkusan bekalan makanan sebelum ia diagihkan kepada penerima.
Program yang dianjurkan oleh kakitangan UTS dari Sekolah Pengkomputeran dan Media Kreatif (SCM), Sekolah Perniagaan dan Pengurusan (SBM) serta Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi (SET) itu bertujuan memastikan pelajar dari keluarga kurang berkemampuan mendapat keperluan asas yang mencukupi.
Sementara itu, penyelaras program, Barbara Dieo mengucapkan penghargaan kepada Hijrah Suri yang diwakili oleh Khamsiah Yacob atas kerjasama erat sejak 2021 dalam menjayakan inisiatif ini.





