
MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima anugerah Universiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Terbaik Malaysia bagi kategori universiti awam.
Anugerah anjuran Education TVET Asia Publications itu mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan cemerlang dalam bidang pendidikan dan TVET di seluruh Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Ia diterima Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr Massila Kamalrudin di majlis Malaysia Education & TVET Awards (META) 2024, pada Selasa.
Massila berkata, anugerah itu menjadi satu pengiktirafan yang amat bermakna buat UTeM dengan mesej jelas mengenai usaha dan komitmen UTeM dalam pemerkasaan TVET melalui impak berterusan.
Katanya, UTeM dan TVET membangunkan Teras Strategik utama UTeM menerusi Pelan Strategik UTeM 2023-2025 dengan memfokuskan Memperkasa TVET Meluncur Kerjaya seiringan hasrat negara melalui Majlis TVET Negara.
“Kami menggerakkan seluruh jentera meliputi aspek pendidikan, penyelidikan inovasi, pembangunan pelajar, hubungan industri, institusi pendidikan, kerjasama dengan agensi strategik dan pemerkasaan komuniti yang bukan hanya di peringkat nasional malahan merentas di peringkat antarabangsa bagi mencapai kejayaan TVET secara meluas.
“Hasilnya memberangsangkan apabila setiap elemen itu membuahkan impak yang diharapkan antaranya penawaran bidang pengajian kami menepati keperluan dan permintaan semasa industri, bilangan kemasukan pelajar melebihi dari yang disasarkan.
“Tahun ini, kami juga sudah merangkul Anugerah Universiti Pilihan Majikan (Employers’ Choice of University Award),” katanya.
Massila berkata, usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan UTeM terutama graduan TVET adalah kewajipan UTeM melalui kejayaan cemerlang menjadi juara berganda dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) apabila mencapai kadar Kebolehpasaran Graduan (GE) 2023 97.7 peratus dan 76.7 peratus graduan bekerja.
Jelasnya, pemerkasaan TVET dalam kalangan universiti industri dan pengantarabangsaan adalah elemen berangkai yang perlu direalisasikan secara konsisten.
“Kolaborasi antara UTeM bersama pihak industri dan institusi pendidikan tinggi TVET di serata dunia dijayakan menerusi siri-siri jalinan kerjasama strategik seperti di negara Jerman, Perancis, Korea, United Kingdom, Jepun, China, Afrika Selatan, UAE dan lain-lain negara termasuk perkongsian kepakaran demi kelestarian TVET masa kini dan masa hadapan.
“Di samping itu pelbagai penganjuran program dan aktiviti TVET berimpak tinggi telah dilaksanakan UTeM secara meluas meliputi segenap peringkat negeri Melaka, seluruh negara sehinggalah bertaraf dunia,” katanya.
Menurutnya lagi, UTeM turut menampilkan formula strategik menerusi TVET Place and Train UTeM@KPT bagi menawarkan 25,000 peluang penempatan pekerjaan bergaji premium buat graduan.
“TVET Place and Train UTeM@KPT adalah formula khas yang dibangunkan UTeM dengan menggerakkan empat inisiatif kerangka utama yang terdiri daripada JELITA UTeM@KPT, UTeM-Industrial Playground, Industry-MTUN Cyber Security Consortium dan National Industrial Career Expo (NICE@UTeM),” katanya.