USUL Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) diluluskan di peringkat dasar secara undian suara selepas perbahasan selama lapan hari.
RMK13 menerima sokongan majoriti Ahli Parlimen termasuk beberapa pihak pembangkang.
Usul yang diluluskan tanpa pindaan itu sebelum ini dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai dan sesi perbahasan selama lapan hari dari 4 hingga 14 Ogos disusuli jawapan daripada kementerian dari 18 Ogos hingga semalam.
Pemangku Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam sesi penggulungan petang tadi menolak dakwaan kononnya RMK13 mengetepikan agenda Bumiputera, sebaliknya menjelaskan ia diberi tumpuan utama seperti digaris di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Beliau berkata, usaha melakarkan semula Pembangunan di bawah RMK13 juga bertujuan untuk meningkatkan keseimbangan pembangunan negeri, wilayah dan desa khususnya di enam negeri kurang pembangunan.
Sesi penggulungan RMK13 pula bermula 18 Ogos membabitkan 30 Menteri dengan penggulungan terakhir dibuat Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi.
Seramai 153 Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian sepanjang sesi perbahasan RMK13.








