
PUTRAJAYA – Malaysia dibimbangi boleh ‘dijajah’ semula sekiranya politik negara masih terumbang-ambing, sekali gus membenarkan kemasukan dan penguasaan daripada bangsa luar.
Ketua Batin Daerah Bentong, Razak Beretong ketika dihubungi berkata, rakyat tidak seharusnya terlalu leka dengan kemerdekaan yang dikecapi negara, bagi mengelakkan sejarah seperti penjajahan Melaka berulang kembali.
“Perkara ini kena lihat, dalam sedar tak sedar akhirnya kena berbalik kepada politik kerana apabila perkara politik negara terumbang-ambing di situlah kuasa asing akan mengambil kesempatan.
“Kemerdekaan memang orang rasa ‘oh, aku merdeka bebas dari pelbagai sudut’, tetapi dalam kebebasan itu kita kena ingat jangan terlalu gembira sangat, kena melihat dari pelbagai aspek apa yang sedang berlaku sekarang.
“Ia boleh diibaratkan seperti api ‘makan’ sekam (api dalam sekam), di atasnya nampak cantik namun di bawahnya habis. Saya amat risau sebenarnya, mungkin bukan masa ini tetapi 10 atau 20 tahun datang apa akan berlaku dengan Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Razak berkata, erti kemerdekaan bagi masyarakat Orang Asli membawa maksud rakyat bebas dari cengkaman penjajah dan boleh melakukan apa sahaja tanpa dihalang atau disekat mana-mana kuasa asing.
“Sehubungan itu, terdapat keperluan buat pemimpin rakyat mencontohi keteguhan perpaduan, pencapaian ekonomi serta kemajuan negara luar bagi menjadikan Malaysia lebih utuh dari pelbagai aspek,” katanya.
Sementara itu, Razak yang juga Tok Batin Kampung Orang Asli Cinta Manis, Bentong memberitahu, pihaknya mengadakan pelbagai program sempena kemerdekaan demi memupuk semangat patriotik dalam diri penduduk termasuk anak-anak, selain menggalakkan mereka mengibar Jalur Gemilang.
“Memang setiap bulan kemerdekaan kita akan membuat satu program penduduk kampung bagi menghargai erti kebebasan, selain memperkukuh lagi perpaduan antara anak-anak buah di sini sebab mereka bukan orang lain, semuanya anak-beranak dan saudara mara.
“Kalau tidak dilaksanakan satu aktiviti khusus sempena hari kemerdekaan, masyarakat di sini tidak akan bercampur walaupun mereka saling bersaudara dan perpaduan atau hubungan erat di kampung ini tidak akan berlaku,” katanya.

Tambah Razak, pihaknya berbangga apabila ibu bapa di sini sudah mula menanamkan semangat patriotisme dalam kalangan anak-anak untuk menghargai kemerdekaan yang dikecapi Malaysia.
“Saya melihat kebelakangan ini, sebut 31 Ogos, mereka (Orang Asli) dah tahu apa nak buat, mereka dengan anak-anak akan bersama memasang Jalur Gemilang di depan rumah melambangkan Malaysia sedang menyambut Hari Merdeka.
“Anak-anak akan melihat perkara itu dan akan menjadi contoh serta ikutan kepada generasi baharu bahawa apabila 31 Ogos, wajib untuk kita mengibarkan bendera Malaysia di rumah,” katanya.




