
UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengaktifkan sebuah bilik gerakan khas bagi memantau situasi kecemasan susulan kemalangan yang melibatkan bas persiaran dinaiki pelajarnya di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik, Perak.
Langkah ini merupakan antara tindakan segera yang diambil oleh pihak universiti bagi menyelaras bantuan, menyampaikan maklumat sahih kepada waris mangsa, serta memastikan segala urusan berkaitan dapat dilaksanakan dengan teratur.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, bilik gerakan ini akan beroperasi sepanjang masa sehingga keadaan terkawal sepenuhnya.
“UPSI sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar dan akan terus memberikan bantuan serta sokongan sewajarnya kepada waris pelajar yang terlibat,” kata Bahagian Komunikasi Korporat UPSI pada Isnin.
Sehubungan itu, UPSI menyeru semua pihak agar mendoakan kesejahteraan mangsa yang terlibat dan memohon agar masyarakat hanya merujuk kepada saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini.
Bagi sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, orang awam boleh menghubungi pihak universiti menerusi talian 05-450 7148 (Pejabat) atau 019-571 9977 (Talian Hotline).
Pihak universiti menzahirkan komitmen penuh dalam memastikan keselamatan serta kebajikan pelajar sentiasa menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi dalam situasi getir seperti ini.
Terdahulu, kejadian kemalangan yang berlaku pada awal pagi Isnin itu mengorbankan sekurang-kurangnya 15 nyawa, termasuk pelajar UPSI, dengan beberapa lagi dilaporkan cedera.
Difahamkan, bas yang membawa 48 individu itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjong Malim, Perak, bagi tujuan program luar kampus.







