
GERIK – Susulan kemalangan bas persiaran yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, berhampiran Tasik Banding, awal pagi Isnin, ramai ahli keluarga dan waris meluah kebimbangan.
Menjengah di ruangan komen di media sosial berkaitan senarai nama penumpang bas terbabit, rata-rata mendakwa tidak mendapat maklumat lanjut apa yang berlaku ke atas keluarga mereka yang terlibat.
Seorang waris dikenali Tuan Adli, mendakwa sehingga kini dia tidak mendapat sebarang maklumat mengenai keadaan sebenar anak saudara beliau yang didakwa turut terlibat dalam nahas itu.
“No.27 itu adalah anak saudara saya. Masih tidak tahu keadaannya kerana dia tidak dapat dihubungi,” tulisnya.
Begitu juga dengan Emalyn Aisyah, yang turut mendakwa tidak mendapat sebarang info tentang situasi adiknya.
“No.26 adik saya, masih juga tidak dapat info keadaannya,” katanya pada ruangan komen di Facebook milik Ahmad Nazrul.
Seorang lagi pengguna Facebook, Madseh Sikh berkata, dia juga tidak tahu maklumat terkini dengan nasib sepupunya yang juga salah seorang penumpang bas terbabit.
Sementara itu, dalam hantaran Facebook oleh Naib Canselor UPSI, turut menzahirkan rasa sedih berikutan kemalangan yang berlaku.
Menurut hantaran itu, “UPSI berduka. Semoga dipermudahkan segala urusan buat pelajar yang terlibat dalam kemalangan jalan raya awal pagi ini.”
Terdahulu, sekurang-kurangnya 15 individu dilaporkan maut dalam nahas membabitkan sebuah bas dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding di sini, awal pagi Isnin.
Difahamkan, nahas sekitar jam 1 pagi itu melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dari Jerteh, Terengganu dan Kelantan untuk pulang ke UPSI setelah pulang bercuti sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam satu kenyataan memaklumkan, laporan kemalangan tersebut melibatkan 48 mangsa.







