
PENJAGA gol Manchester United, Andre Onana melengkapkan ‘perpindahan secara pinjaman’ ke kelab Turkiye, Trabzonspor awal pagi tadi, menurut kenyataan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Perpindahan Onana sudah dijangka sejak United mendapatkan khidmat Senne Lammens dari Royal Antwerp pada hari akhir jendela perpindahan minggu lalu.
Pembelian Lammens dengan harga £18.2 juta (RM104 juta) menyaksikan United memiliki empat penjaga gol.
Walaupun kelab menyatakan mereka tiada masalah mengekalkan bilangan itu, masa depan Onana yang bergelut dengan prestasi sudah lama dipersoalkan.
Penjaga gol antarabangsa Turkiye, Altay Bayindir beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan EPL United musim ini, manakala Onana yang berusia 29 tahun hanya bermain sekali – ketika kekalahan mengejut United kepada kelab divisyen empat, Grimsby Town pada pusingan kedua Piala Liga menerusi penentuan sepakan penalti.
Onana dipersalahkan atas dua gol Grimsby pada perlawanan itu.
Onana dibeli dari Inter Milan dengan harga £47.2 juta (RM270 juta) pada 2023, namun prestasi tidak konsisten menjadikannya sasaran kritikan sejak itu.